Wednesday, September 3, 2008

Hilang isteri dan anak-anak akibat nafsu

Pasangan yang mendirikan rumah tangga atas dasar cinta ini sememangnya telah lama mengenali diri satu sama lain. Said dan Laila mula bertemu sewaktu mereka berada di zaman persekolahan menengah lagi. Bermula dari cinta monyet akhirnya kedua-duanya serius. Mereka lantas bersetuju untuk mendirikan rumah tangga sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.Sebagai seorang suami dan bapa, Said memang baik. Namun sebagai seorang lelaki, Said mempunyai kekurangannya yang tersendiri. Laila telah mengetahui akan kekurangan diri suaminya, namun dia tidak kisah kerana yakin mampu untuk mengubah Said sedikit demi sedikit. Tabiat yang kurang disenangi Laila terhadap Said adalah hobi suaminya yang suka berjudi. Kedai nombor ekor adalah tumpuan utama Said untuk memenuhi tabiatnya. Jika sewaktu zaman persekolahan, Said hanya berjudi kecil-kecilan, namun setelah dewasa dan mempunyai kerja sendiri, Said mula pandai mempertaruhkan wang taruhan yang besar. Bukan Laila tidak cuba menasihati Said namun suaminya itu tidak pernah mendengar nasihat. Sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak mereka, Laila agak risau jika tabiat Said itu akan menjadi ikutan anak-anaknya. Setiap kali selesai bersolat, Laila sudah pasti tidak akan lupa untuk berdoa agar Said berubah. Bagai mencurah air ke atas daun keladi, itulah yang berlaku ke atas nasihat yang diberikan atas Said. Setiap kali Laila bersuara, Said sudah pasti akan memarahi Laila. Kadangkala disebabkan terlalu marah dengan Laila dia akan keluar rumah tanpa memberitahu Laila. Akibat tidak tahan dengan perangai suaminya itu, Laila telah mengadu kepada ibu bapanya serta mentuanya. Simpati terhadap nasib anaknya maka ibu bapa Laila yang kasihan mula campur tangan dengan kehidupan rumah tangga anak mereka.Aduan Laila dan campur tangan kedua ibu bapa telah membuatkan Said marah. Bukan setakat itu sahaja, Said juga sudah pandai angkat tangan dan mula memukul Laila. Semuanya gara-gara amarah yang menguasai diri. Sebenarnya Said memang tidak pernah ingin memukul isterinya. Tapi kalau sudah sekali angkat tangan, sudah pasti ada yang kedua dan ketiga. Jika pada mulanya Laila dapat bersabar dengan kelakuan Said, tapi apabila tubuhnya mula lebam-lebam dan cedera, Laila mula mengambil tindakan sendiri. Tanpa pengetahuan Said, Laila telah membawa anak-anaknya keluar dari rumah. Said yang bingung dengan keadaan itu cuba mencari isteri dan anak-anaknya.Ditanyanya pada semua orang yang dikenali, namun tidak ada sesiapapun yang memberikan jawapan yang diinginkannya. Sesungguhnya Laila dan anak-anaknya telah hilang dari pandangan. Beberapa bulan kemudian, Said menerima surat daripada isterinya. Kandungan surat tersebut menyatakan isterinya Laila mahu menuntut cerai. Jika Said tidak menunaikan hasratnya itu, kata Laila dia dan anak-anaknya tidak akan pulang dan akan terus menghilang. Said amat menyayangi keluarganya. Dia tidak mahu kehilangan anak-anak kerana tanpa mereka siapalah dirinya nanti. Setelah berfikir panjang dan dalam hati yang berat, Said pun bersetuju untuk bercerai. Proses perceraian antara Said dan Laila tidak lama kerana demi masa depan anak-anak mereka telah bersetuju bercerai secara aman. Setelah bercerai, Said dapat berjumpa semula dengan anak-anaknya. Bagi Said, walaupun kini dia lagi bukan bergelar suami kepada Laila, namun dia berazam untuk menjadi bapa yang baik kepada anak-anaknya. Malah untuk membuktikan keazamannya itu, Said sanggup berhenti berjudi. Demi anak-anak, Said sanggup berubah.

0 comments: