Wednesday, September 3, 2008

Suami isteri asyik bekerja... Anak terabai, keluarga merana

Pada suatu hari, seorang ayah pulang lewat dari pejabatnya. Kelihatan anaknya yang berusia 6 tahun menunggu penuh setia di pintu rumah.
Anak: Ayah berapa gaji ayah dalam satu jam?
Ayah: Kenapa nak tahu? (jawab ayah dalam nada marah)
Anak: Saya cuma mahu tahu, tolonglah ayah beritahu saya berapa gaji ayah dalam sejam?
Ayah: Baiklah… gaji ayah sejam dua puluh ringgit. Puas hati?
Anak: Oh, (ujar si anak sedih), boleh tak kalau saya pinjam sepuluh ringgit?
Ayah: Kamu ini cuma tahu minta duit untuk beli permainan sahaja. Tahu tak kamu betapa susahnya ayah bekerja siang dan malam? Sudah, pergi naik atas tidur.

Anak kecil itu berlalu dengan wajah duka. Setelah si ayah kembali tenang, dia terfikir mungkin anaknya amat memerlukan wang itu untuk membeli sesuatu yang berharga. Lalu ayah menuju ke bilik anaknya.
Ayah: Kamu sudah tidur sayang?
Anak: Belum ayah?
Ayah: Maafkan ayah kerana berkasar tadi. Ayah penat betul hari ini dan tiba-tiba kamu meminta wang dari ayah. Ini sepuluh ringgit yang kamu minta. Tapi kamu hendak buat apa dengan wang itu?
Anak: Terima kasih ayah. (segera anak kecil itu mengeluarkan gumpalan wang dari dalam tabungnya). Sebelum ini duit saya tidak cukup. Setelah dicampur dengan duit ayah ia sudah mencukupi. Saya mahu beli waktu ayah satu jam. Esok ayah pulang cepat ya. Saya mahu makan malam dengan ibu dan ayah.Si ayah memandang anaknya sayu. Selama ini dia dan isterinya terlalu kuat bekerja hingga mengabaikan perhatian dan kasih sayang anaknya.

Mungkin ada yang tersentuh membaca cerita pendek ini namun realitinya pasti ada ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja hingga melupakan masa untuk bersama anak-anak. Sememangnya mencari rezeki untuk diri dan keluarga itu satu ibadah. Maka itu, melaksanakannya perlulah ada keikhlasan, mencari rezeki yang halal dalam masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Ia termasuklah dari segi rohani dan jasmani. Ikuti beberapa pandangan orang ramai mengenai isu kali ini.

“Sebagai ibu bapa, dalam pada memberi penumpuan kepada kerja, mereka harus menyedari tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka. Anak-anak perlu diberi keutamaan agar tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari. Walau bagaimana sibuk dan letihnya tubuh badan setelah seharian bekerja, ibu bapa perlu memperuntukkan masa sekurang-kurangnya dua jam untuk bersama-sama anak. Masa berkualiti ini perlulah digunakan sebaiknya agar dapat memberi kesan yang positif. "Tidak salah jika di meja makan ketika menikmati makan malam digunakan untuk berbual mengenai aktiviti harian yang telah dilakukan dan menjadi pendengar yang baik. Selain itu, bantulah mereka menyiapkan kerja sekolah. Dengan cara ini anak-anak akan merasa ibu bapa mereka begitu menyayangi dan mengambil berat tentang diri mereka. Ibu bapa perlu bijak membezakan tanggungjawab sebagai orang tua dan pembimbing kepada anak-anak serta tanggungjawab terhadap karier. Keseimbangan antara rumah tangga dan kerjaya perlu agar tidak menjejaskan salah satu daripadanya.”

0 comments: